10 Contoh Syarikat Yang Mempunyai Budaya Kerja Hebat
- Admin
- Oct 16, 2018
- 7 min read
This is an article translated from English to Bahasa.
Link to the original article in English: https://www.entrepreneur.com/article/249174

Budaya kerja yang baik bukan lagi satu isu remeh. Para pekerja hari ini menitikberatkan budaya kerja sama seperti mereka mempertimbangkan isu gaji dan manfaat sesuatu pekerjaan. Malah, budaya kerja yang hebat sudah diidam dari awal lagi bersama-sama manfaat tradisi yang lain.
Tidak dinafikan budaya kerja yang berkesan untuk sesuatu syarikat tidak semestinya akan berjaya di syarikat yang lain, namun anda boleh belajar banyak perkara daripada syarikat-syarikat yang mengamalkannya dengan betul, supaya boleh merancang budaya kerja anda yang tersendiri.
1. Zappos
Selain terkenal dengan produk kasut yang dijual secara atas talian, budaya kerja di Zappos juga disegani ramai. Jadi bagaimana budaya kerja di sana?
Ia dimulakan dengan temuduga untuk kesesuaian budaya (cultural fit interview), yang banyak menentukan sama ada calon layak untuk menerima tawaran. Pekerja-pekerja yang baru dilantik pula akan diberi $2,000 untuk berhenti selepas minggu pertama latihan jikalau mereka berasakan yang kerja mereka tidak bersesuaian. 10 nilai-nilai asas ditanam dalam diri setiap ahli. Pekerja juga boleh mendapat kenaikan gaji jika mereka lulus ujian kemahiran dan menunjukkan perkembangan kebolehan, dan bukannya diperoleh melalui politik pejabat. Sebahagian bajet syarikat juga akan digunakan untuk aktiviti team-building dalam kalangan pekerja dan tawaran-tawaran lain untuk mereka.
Manfaat pekerjaan serta tempat kerja yang seronok yang ditujukan khas untuk memastikan kegembiraan pelanggan adalah bersesuaian dengan pendekatan Zappos dalam budaya syarikat – apabila budaya kerja syarikat sudah tepat, servis pelanggan dan imej jenama yang mantap akan berlaku dengan sendirinya.
Nota: Zappos melantik pekerja berpandukan kepada kesesuaian budaya sebagai kriteria yang utama. Syarikat ini telah menentukan budaya kerja terlebih dahulu, dan penyesuaian diri dengan budaya tersebut merupakan perkara paling penting yang akan dinilai oleh pengurus. Ini akan menguatkan lagi budaya kerja tersebut dan melahirkan pekerja-pekerja yang gembira, lalu menyumbang kepada kepuasan pelanggan.
2. Warby Parker
Warby Parker merupakan syarikat pembuatan dan penjualan cermin mata sejak tahun 2010. Mereka membuat sendiri rekaan cermin mata dan menjual terus kepada pelanggan tanpa orang tengah. Model ini membantu untuk mengekalkan harga yang murah.
Warby Parker menerapkan budaya kerja “culture crushes” dan salah satu sebab untuk kejayaan pasukan selalunya didekasikan kepada budaya. Budaya kerja yang positif sentiasa diutamakan melalui acara atau program-program yang menarik. Syarikat Warby Parker selalu memastikan yang acara-acara untuk pekerja sentiasa dikemaskini supaya mereka sentiasa berasa seronok, dan syarikat ini juga menggunakan kaedah yang memastikan seluruh pasukan boleh bekerjasama, seperti memberi tugas kepada semua orang untuk memastikan yang tempat rehat sentiasa bersih, ataupun memilih pekerja-pekerja secara rawak untuk makan tengahari bersama-sama.
Nota: Warby Parker sudah melaraskan budaya kerja yang berpanjangan dengan menubuhkan satu pasukan khas yang ditugaskan untuk merancang dan mengurus program dan acara yang memupuk semangat komuniti. Budaya kerja yang hebat tidak terjadi dengan sendiri.
3. Southwest Airlines
Industri penerbangan selalunya dimomokkan dengan pekerja-pekerja yang tidak mesra, dan servis pelanggan yang kurang memuaskan, namun Southwest Airlines menafikan fahaman itu. Pelanggan yang setia dengan Southwest Airlines selalu memuji pekerja-pekerja mereka yang mesra dan ringan tulang membantu pelanggan.
Syarikat penerbangan ini bukanlah baru dalam industri. Mereka telah beroperasi selama 43 tahun. Namun, sepanjang tempoh itu, mereka berupaya untuk memberi kefahaman kepada para pekerja terhadap objektif dan visi syarikat dengan cara-cara yang memupuk semangat berpasukan. Southwest juga ‘mengizinkan’ para pekerja mereka untuk pergi lebih jauh dalam usaha menggembirakan pelanggan, serta memberi sokongan kepada para pekerja untuk melakukan apa yang perlu supaya visi tercapai.
Nota: Pekerja yang yakin dengan objektif utama adalah mereka yang seronok untuk menjadi sebahagian dalam tujuan utama syarikat.
4. Twitter
Pekerja-pekerja di Twitter tidak boleh berhenti bercerita tentang budaya kerja mereka. Mesyuarat di atas bumbung, rakan sekerja yang mesra dan persekitaran yang memupuk semangat berpasukan membuatkan pekerja sentiasa memuji Twitter. Mereka juga mendapat motivasi daripada objektif syarikat.
Selain itu, mereka dapat makan tengahari percuma di bangunan syarikat di San Francisco, kelas yoga dan tempoh percutian yang tiada had. Manfaat-manfaat seperti ini tidaklah pelik dalam dunia startup, tetapi apa yang membezakan Twitter?
Pekerja mereka mempunyai minat yang mendalam untuk bekerja dengan orang yang cerdik. Mereka juga berbangga menjadi sebahagian daripada syarikat yang penting di dunia, dan boleh dikatakan yang tiada orang akan balik rumah sehingga kerja mereka siap.
Nota: Anda tidak boleh menafikan bahawa orang yang memperoleh ahli pasukan yang mesra terhadap satu sama lain adalah bagus dalam pekerjaan, dan mereka juga cintakan pekerjaan mereka. Tiada program, aktiviti atau peraturan dapat menggantikan para pekerja yang berasa pekerjaan mereka bermakna.
5. Chevron
Dikala syarikat carigali minyak adalah merupakan target utama untuk perhubungan awam yang negatif, pekerja-pekerja Chevron memberi respon yang baik terhadap budaya kerja syarikat mereka. Pekerja-pekerja juga membandingkan Chevron dengan syarikat lain yang lebih kurang sama, dan menunjukkan bahawa “the Chevron way” sebagai cara yang dedikasikan untuk keselamatan, menyokong pekerja dan ahli pasukan yang prihatin terhadap satu sama lain.
Chevron menunjukkan yang mereka mengambil berat tentang pekerja dengan menyediakan pusat kesihatan dalam premis atau melalui keahlian kelab kesihatan. Syarikat ini juga menawarkan program kesihatan yang lain seperti urutan dan latihan sendiri. Chevron juga menggalakkan pekerja mengambil rehat yang cukup. Dalam erti kata lain, syarikat ini mengambil kira kesejahteraan pekerja, dan pekerja juga tahu mereka dihargai.
Nota: Budaya kerja anda tidaklah memerlukan perkara yang gah seperti meja ping-pong dan minuman percuma. Cukuplah memberi pekerja rasa selamat, kesejahteraan diri dan membuat polisi yang memupuk semangat mengambil berat antara para pekerja.
6. SquareSpace
Syarikat startup yang berjaya ini seringkali diundi sebagai salah satu syarikat terbaik untuk pekerja di bandar New York. Budaya kerja mereka ialah budaya yang “rata, terbuka dan kreatif.” Organisasi yang rata merupakan syarikat yang tiada (atau mempunyai sedikit) hierarki pengurusan di antara staf dan eksekutif. Pendekatan ini adalah biasa dalam kalangan startup, dan boleh menjadi sukar untuk dikekalkan apabila syarikat mula berkembang dan memerlukan banyak jabatan untuk dibentuk.
SquareSpace juga memberi manfaat dan kelebihan yang utuh, termasuk 100 peratus perlindungan insuran kesihatan premium, waktu cuti fleksibel, ruang pejabat yang menarik, makanan yang tersedia, dapur yang mempunyai stok penuh, sambutan bulanan, ruang berehat dan kehadiran pensyarah tetamu secara berkala.
Manfaat yang kukuh seperti yang diperkatakan tadi boleh membentuk budaya, tetapi bukanlah penentu sebenar budaya yang berkesan. Ketua yang merendah diri dan akses secara langsung kepada pengurusan mempunyai impak yang besar.
Nota: Pekerja akan berasa suara mereka didengari apabila mereka tidak dihalang oleh banyak lapisan pengurusan tertinggi. Tahap kebebasan ini memupuk keyakinan dan melonjakkan lagi semangat berjuang.
7. Google
Hampir menjadi suatu kesalahan jika tidak menyebut nama Google dalam senarai syarikat yang mempunyai budaya kerja hebat. Google sudah menjadi seperti sinonim kepada budaya kerja semenjak beberapa tahun, dan sudah menjadi inspirasi untuk pemberian kelebihan dan manfaat yang terkenal di syarikat startup. Makanan percuma, trip dan parti untuk pekerja, bonus kewangan, pembentangan terbuka oleh eksekutif-eksekutif tertinggi, gimnasium, kawasan mesra anjing peliharaan dan sebagainya. Pekerja Google pula terkenal dengan sikap sentiasa berkobar-kobar, berbakat dan semestinya dalam kalangan yang terbaik.
Apabila Google telah mula membangun dan organisasinya mula berkembang, sudah menjadi sukar untuk mengekalkan budaya yang sepadan di antara bangunan utama dengan pejabat satelit, serta dalam kalangan jabatan-jabatan di pejabat. Semakin besar sesebuah syarikat, semakin bertambah kepentingan sesuatu budaya itu melalui proses pembaharuan supaya selaras dengan bilangan pekerja yang bertambah dan keperluan pengurusan.
Walaupun Google masih mendapat ulasan yang cemerlang untuk gaji, kelebihan dan perkembangan karier, masih ada juga sebahagian pekerja yang menyatakan cabaran-cabaran yang boleh dijangka daripada syarikat yang besar, termasuk stress yang berhubung kait dengan persekitaran yang kompetitif. Melantik pekerja dan mengharapkan yang terbaik daripada mereka boleh menyumbang kepada punca stress jika budayanya tidak memberi ruang kepada kehidupan yang seimbang.
Nota: Budaya kerja terbaik pun perlu menyemak semula masa silam mereka supaya boleh membantu pasukan-pasukan yang makin membesar. Budaya kerja syarikat yang paling berjaya membawa kepada perniagaan yang berjaya, dan ia memerlukan budaya yang boleh berevolusi bersamanya.
8. REI
Untuk peminat outdoor, REI sudah lama menjadi pilihan untuk membeli peralatan yang terbaik. REI merupakan syarikat koperasi yang keuntungannya memberi manfaat kepada ahli. Rata-rata pekerjanya setuju yang inilah tempat di mana kehebatan boleh berlaku, menjangkaui produk-produk yang dijual. REI mempunyai misi untuk mempersiapkan pelanggan dan pekerja untuk aktiviti outdoor bukan sahaja untuk berseronok namun untuk mempromosikan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Syarikat REI mengatakan yang pekerja mereka memberi rasa “hidup kepada tujuan mereka,” dan menyifatkan pekerja mereka sebagai sebab mereka berjaya. CEO syarikat itu mengetahui yang para pekerja boleh memperoleh manfaat dari mana-mana, namun membenarkan pekerja-pekerja yang meminati outdoor menikmati budaya REI merupakan perkara yang membuatkan mereka unik. Para pekerja boleh memenangi peralatan outdoor melalui outdoor “challenge grants” di mana mereka menghantar kertas cadangan untuk cabaran aktiviti lasak. Mesyuarat ala-ala dewan bandar pula membolehkan para pekerja mengemukakan soalan tanpa mendedahkan identiti supaya pihak pengurusan boleh faham keadaan sebenar dalam syarikat.
Nota: Apabila pekerja anda mempunyai minat yang sama dengan syarikat anda, budaya kerja boleh melonjak dengan sendirinya. Budaya kerja yang dibanggakan dan dimajukan oleh orang yang sama membawa nilai yang tersendiri.
9. Facebook
Sama seperti Google, Facebook merupakan syarikat yang berkembang pesat serta terkenal dengan budaya kerja syarikat yang unik.
Seperti syarikat lain juga, Facebook menawarkan makanan yang banyak, pelbagai stok, ruang pejabat yang terbuka, dobi, komunikasi terbuka dan fokus kepada kerja berkumpulan, suasana kompetitif yang menyuburkan pembangunan diri dan ilmu, serta manfaat-manfaat yang hebat.
Walaubagaimanapun, Facebook mempunyai cabaran yang sama dengan syarikat lain sepertinya: industri yang sangat kompetitif ada kalanya membawa kepada tempat kerja yang stress dan sengit. Tambahan lagi, organisasi yang bebas dan organik mungkin berkesan untuk syarikat kecil, namun kurang berjaya di syarikat besar.
Untuk menangani masalah-masalah itu, Facebook telah membina bilik-bilik konferens, bangunan-bangunan berasingan, menambah ruang rehat di luar bangunan dan pihak pengurusan juga (termasuk CEO Mark Zuckerberg) turut bekerja di ruang pejabat bersama-sama pekerja lain. Ia merupakan cubaan untuk budaya organisasi yang rata menggunakan bangunan dan ruang yang sedia ada supaya semua menganggap mereka sama rata.
10. Adobe
Adobe merupakan syarikat yang sanggup pergi lebih jauh untuk memberi pekerja mereka projek-projek yang mencabar dan seterusnya memberi kepercayaan dan sokongan supaya mereka boleh mengatasi cabaran itu dengan jayanya. Di samping memberikan manfaat dan kelebihan seperti syarikat kreatif moden yang lain, Adobe mempunyai budaya yang tidak terlalu mengawal pekerja dan mempercayai mereka akan melakukan yang terbaik.
Produk Adobe adalah produk-produk kreatif, dan memberi kebebasan kepada pekerja-pekerja adalah merupakan suatu jalan yang membolehkan mereka menghasilkan produk tersebut. Sebagai contoh, Adobe tidak menggunakan sistem rating untuk menguji kemampuan pekerja kerana ia boleh menghalang kreativiti dan cara pasukan bekerja. Pihak pengurus bertindak sebagai pelatih, dan memberi laluan untuk para pekerja menentukan objektif mereka dan bagaimana mereka akan diuji.
Para pekerja juga akan diberi pilihan stok supaya mereka tahu mereka mempunyai pegangan dan ganjaran dalam kejayaan syarikat. Latihan yang berterusan dan budaya yang mempromosikan pengambilan risiko tanpa rasa takut terhadap penalti adalah sebahagian daripada budaya terbuka yang diamalkan Adobe.
Nota: Memberi kepercayaan kepada pekerja boleh mendorong kepada budaya syarikat yang positif, kerana kepercayaan boleh memimpin pekerja berdikari yang akan membantu membangunkan syarikat anda.
Rumusan
Kebanyakan syarikat ini menawarkan manfaat dan kelebihan yang serupa, tetapi semua itu tidak menentukan budaya mereka secara mutlak. Pendekatan yang diambil untuk cara melayan pekerja dan tahap pemilikan, kepercayaan yang diberikan kepada mereka juga adalah kunci pembentukan budaya syarikat.
Namun perlu diingatkan: memfokuskan hanya kepada budaya syarikat dan mengecualikan pertimbangan yang lain (keselamatan, undang-undang, peraturan) boleh membawa kepada penyalahgunaan atau situasi yang menyebabkan ketidakselesaan pekerja. Contoh-contoh terbaik dalam senarai ini pun ada yang dikritik.
Budaya yang terbaik ialah budaya yang membuatkan pekerja rasa selamat dan dialu-alukan, tidak rasa dikecualikan atau tidak selesa. Memfokuskan hanya pada kesesuaian budaya semata-mata akan menyukarkan proses pengambilan pekerja yang mempunyai budaya yang berlainan, walaupun mereka mampu menjadi aset berharga dan memberi diversiti yang baik untuk syarikat. Budaya kerja syarikat anda perlukan perubahan jika ia hanya menyebabkan anda mempunyai ahli pasukan yang berfikiran dan mengambil tindakan yang lebih kurang sama.
Artikel oleh: Sujan Patel, Pengasas Bersama Web Profits Terjemahan oleh: Azra Shuib www.entrepreneur.com
Comments